Thursday, December 5, 2013

Gaya Hidup Sihat Menurut Perspektif Islam

TUGASAN SYW502

Gaya Hidup Sihat Menurut Perspektif Islam

ABANG MOHD. RAZIF BIN ABANG MUIS
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam)
P-SM0142/12

Islam merupakan al-Din yang amat menitikberatkan kesejahteraan umatnya termasuklah dalam menentukan gaya hidup yang sihat. Gaya hidup sihat berkait rapat dengan kesihatan jasmani, mental, emosi dan rohani. Gabungan kesihatan fizikal, mental, emosi dan kerohanian ini akan menentukan kualiti hidup seseorang itu termasuklah prestasi kerjanya dan juga tempoh hayatnya. Oleh sebab itu, kesihatan merupakan aset yang amat bernilai dalam kehidupan seseorang insan yang perlu sentiasa dijaga dan diberi perhatian yang sebaik-baiknya.

Pemakanan yang berlebihan atau kandungannya yang tidak seimbang sering menyumbang kepada berbagai-bagai penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit jantung, darah tinggi, penyakit buah pinggang, kanser dan sebagainya. Perkembangan penyakit kronik di negara kita sebenarnya amat membimbangkan. Hasil kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan tahun 2006 mendapati bahawa amalan gaya hidup masyarakat di negara ini menyebabkan banyak masalah kesihatan yang kronik. Apabila masyarakat terdedah dengan faktor risiko yang lebih menjurus kepada amalan gaya hidup akan mengundang kepada penyakit berbahaya seperti jantung, kencing manis, angin ahmar, kanser, darah tinggi, kegagalan buah pinggang, kerosakan paru- paru dan penyakit tulang. Antara ciri yang boleh mendatangkan risiko penyakit berbahaya yang tidak berjangkit adalah gaya pemakanan yang tidak sihat di mana didapati seramai 8.7 juta (7.8 peratus) daripada masyarakat kita tidak memakan sayur- sayuran dan buah-buahan. Manakala sebanyak 7.2 juta (60.1 peratus) rakyat tidak menjalankan aktiviti fizikal yang sepatutnya. Dan juga ciri gaya hidup yang lain seperti merokok, minum arak, kegemukan, buncit juga mendatangkan risiko kesihatan.

Jika diteliti hasil kajian ini, menunjukkan bahawa pemakanan secara seimbang dan aktiviti fizikal tidak dititikberatkan dalam gaya hidup masyarakat Malaysia. Sebab itulah pesakit kanser, jantung, diabetes dan darah tinggi adalah antara golongan yang paling banyak menerima rawatan di hospital kerajaan sepanjang tahun 2006 (Kementerian Kesihatan) di mana penyakit tersebut adalah penyakit yang disebabkan oleh faktor pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat. Oleh itu, kita seharusnya melihat bahawa arus penyakit pada hari ini lebih menjurus kepada unsur pemakanan dan gaya hidup walaupun mungkin terdapat juga faktor persekitaran dan lahiriah yang menyumbang kepada masalah penyakit tersebut. Untuk mengawal keadaan ini ke arah menggalakkan amalan gaya hidup sihat, maka wajar bagi umat Islam khususnya untuk mempraktikkan dengan lebih bersungguh-sungguh apa yang dianjurkan oleh Islam sejak dari dahulu lagi iaitu sentiasa bersikap sederhana dalam pengambilan makanan dan minuman. Mengikut pakar perubatan, kita digalakkan mengambil banyak sayur-sayuran, buah-buahan dan mengelakkan diri daripada mengambil makanan yang berkolesterol dan kandungan lemak yang tinggi. Kita juga perlu memberi perhatian kepada pengambilan gula dengan memilih makanan dan minuman kurang manis.

Selain pemakanan, bersukan atau beriadah adalah sebahagian amalan gaya hidup sihat. Islam menggalakkan umatnya mengamalkan aktiviti latihan jasmani yang bersesuaian. Ini bertepatan saranan Saidina Umar RA yang menggalakkan bersukan dan latihan jasmani. Katanya: “Ajarlah anak kamu berenang, memanah dan menunggang kuda”. Seruan ini jelas membuktikan Islam meletakkan kepentingan beriadah dalam melatih umatnya dan menjadikan badan mereka sihat dan cergas. Pepatah Melayu juga ada menyebut bahawa, “Minda yang cerdas bermula dari badan yang sihat.” Justeru, gaya hidup sihat dalam Islam juga dapat diperoleh dengan melakukan ibadah-ibadah khusus seperti berwuduk, solat, puasa dan sebagainya. Orang Islam digalakkan bersuci dengan berwuduk dan membersihkan badan. Berwuduk boleh menghilangkan jangkitan kuman dan habuk-habuk daripada terus melekat pada badan atau rongga-rongga. Sesungguhnya amalan berwuduk lima kali sehari ini adalah selari dengan tuntutan ilmu kesihatan.

Selain amalan berwuduk, solat fardhu lima waktu dan solat sunat yang lain juga berkeupayaan memberi ketenangan dan mengawal tekanan hormon dalam badan manusia. Solat yang khusyuk mampu memberikan kesegaran kepada anggota badan dan membina kecergasan minda. Solat yang khusyuk adalah solat yang sempurna yang melibatkan tumpuan penuh fizikal dan hati kepada Allah SWT. Dalam usaha mencapai hakikat khusyuk ini, maka kita hendaklah bermula dari amalan mengambil wuduk dengan sempurna, melaksanakan solat dengan cermat dari segi bacaan, qiam, rukuk, iktidal, sujud, thoma'ninah serta memahami isi bacaan dalam solat.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ma'aarij ayat 19 yang bermaksud, "Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah. Apabila ia ditimpa kesusahan, ia sangat resah gelisah. Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat kedekut. Kecuali orang yang mengerjakan sembahyang."

Berdasarkan ayat ini, ternyata keistimewaan amalan ibadah khusus membuktikan bahawa Islam telah menyediakan pakej penjagaan kesihatan fizikal (jasmani) dan spiritual (rohani) yang begitu diperlukan oleh manusia sejagat tanpa perlu terikut-ikut kepada konsep penjagaan kesihatan yang lain. Solat khusyuk secara zahirnya adalah menghadapkan diri kepada Allah SWT dengan penuh adab dan penghormatan. Kerana Allah SWT adalah Raja di dunia dan Raja di akhirat, Raja yang Maha Kaya lagi Maha Berkuasa. Solat yang mencapai tahap khusyuk, bukan sahaja memberikan kesan yang baik dalam hubungan kita dengan Allah SWT, malah berupaya membentuk keperibadian Muslim yang unggul. Bukan itu sahaja, beberapa kajian daripada pakar-pakar perubatan telah memperakukan bahawa puasa pada bulan Ramadhan dan puasa-puasa sunat yang lain, memberikan kesan yang amat positif kepada kesihatan manusia.
           
Selain itu, mewujudkan hubungan yang harmoni dalam masyarakat dan mengekalkan persekitaran bersih juga merupakan gaya hidup sihat yang  amat dituntut dalam Islam. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Janganlah kamu membuang air kecil di tempat air yang tidak mengalir dan kemudiannya kamu berwuduk pula di situ." Hadis ini menunjukkan betapa pentingnya umat Islam sentiasa menjaga kesucian dan kebersihan diri. Suci tetapi tidak bersih atau bersih tetapi tidak suci, boleh menjejaskan amal ibadah.

Secara umumnya Islam mengharuskan umatnya mengamalkan gaya hidup sihat selagi amalannya selari dengan akidah, syariah dan akhlak Islamiah. Namun jika amalan gaya hidup sihat itu mencemari akidah dan syariah seperti adanya aktiviti atau pergerakan pemujaan, jampi serapah, mendedahkan aurat dan berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan, maka hukumnya adalah haram. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pernah mengharamkan beberapa kegiatan yang diamalkan oleh umat Islam antaranya Silat Nasrul Haq, Seni Bina Diri Al-Ma'unah, dan Silat Azhar Wahab yang di dapati menyimpang daripada akidah Islamiah. Pengharaman senaman Yoga oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan merupakan satu keputusan dibuat yang tidak mempunyai kaitan sama sekali untuk mencampuri urusan agama dan budaya penganut agama lain, tetapi semata-mata untuk memelihara akidah dan martabat umat Islam.

Kesimpulannya, umat Islam perlu memberikan sepenuh perhatian dan mengambil langkah berikut bagi menjamin amalan gaya hidup sihat iaitu pertama, mengamalkan sikap mencegah lebih baik daripada mengubati. Kedua, mengamalkan pemakanan sederhana dan seimbang. Ketiga, memastikan amalan gaya hidup sihat tidak berlawanan dengan akidah dan hukum syarak dan yang keempat, sentiasa merujuk kepada ulama atau orang alim, supaya gaya hidup kita diberkati Allah SWT dan disenangi oleh umat Islam.

RUJUKAN

Jamaliah Malia (2011). Gaya Hidup Sihat Menurut Islam. Diakses pada 6 Disember 2013 daripada http://smktmsihat.blogspot.com/2011/01/gaya-hidup-sihat-menurut-islam.html

Noor Kartini (2012). Tips Kesihatan: Gaya Hidup Sihat dalam Islam. Diakses pada 4 Disember 2013 daripada http://sihatbersamatinie.blogspot.com/2012/12/tips-kesihatan-menjaga-kesihatan-adalah.html

Mohd Nazri (2009). Amalan Gaya Hidup Sihat. Diakses pada 6 Disember 2013 daripada http://bmpmrspm.blogspot.com/2009/09/amalan-gaya-hidup-sihat.html

Mohd Shubhi (2012). Gaya Hidup Sihat tapi Masih Tidak Sihat? Diakses pada 6 Disember 2013 daripada http://hidupringkas.com/falsafah/gaya-hidup-sihat-tapi-masih-tidak-sihat/


Kevin Zahri (2007). Apa Erti Gaya Hidup Sihat? Diakses pada 4 Disember 2013 daripada http://www.iluvislam.com/gaya-hidup/kesihatan/2007-apa-erti-qgaya-hidup-sihatq.html#

Tuesday, November 27, 2012

Perubatan Islam: Penelitian Terhadap Kepercayaan Masyarakat Islam di Malaysia


TUGASAN BLOG SIW505

Perubatan Islam: Penelitian Terhadap Kepercayaan Masyarakat Islam di Malaysia

ABANG MOHD. RAZIF BIN ABANG MUIS
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam)
P-SM0142/12

Perubatan merupakan suatu amalan semua umat manusia dalam dunia ini tanpa mengira keturunan, bangsa atau agama kerana setiap manusia boleh diserang penyakit. Usaha untuk mendapatkan penawar atau ubat bagi sesuatu jenis penyakit telah dilakukan sejak zaman Nabi Allah Adam A.S. sehingga sekarang dan usaha ini masih berterusan. Jenis penyakit kian bertambah dan lebih rumit lagi dengan perubahan terhadap gaya hidup manusia dan perubahan dalam alam persekitaran. Walaupun pelbagai jenis ubatan telah dihasilkan oleh manusia, namun masih terdapat banyak penyakit yang belum diketahui punca dan cara rawatannya. Umat Islam juga tidak terkecuali daripada dihinggapi wabak penyakit dan pelbagai usaha dan cara telah dilakukan untuk mendapatkan rawatan. Rasulullah S.A.W. menggalakkan umat Islam supaya berusaha untuk mencari rawatan setiap penyakit yang dihidapi. Baginda turut menekankan betapa pentingnya pencegahan penyakit melalui langkah-langkah tertentu. Rasulullah S.A.W. sendiri mempunyai kemahiran untuk merawat sesetengah jenis penyakit yang tertentu. Kaedah rawatan yang diamalkan oleh baginda adalah berasaskan akidah dan nilai-nilai Islam.

Realitinya, tiada satu kata sepakat mengenai definisi sebenar perubatan Islam. Ramai pengamal perubatan yang mentafsirkan istilah perubatan Islam mengikut pandangan masing-masing bagi mengiktiraf perkara yang mereka amalkan merupakan perubatan Islam sebenar. Justeru itu terdapat kekeliruan dalam kalangan orang ramai tentang apa sebenarnya perubatan Islam. Perubatan Islam adalah satu bidang ilmu dan amalan yang berasaskan ilmu sains perubatan di mana terkandung di dalamnya paradigma, konsep, nilai-nilai tatacara ujian serta rawatan yang selaras dan tidak bertentangan dengan al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W.. Ia bukannya satu kaedah rawatan yang biasanya diamalkan oleh pengamal-pengamal tradisional tetapi ia merupakan keseluruhan konsep ilmu dan amalan perubatan

Pengamal perubatan Islam yang sebenarnya perlu memenuhi beberapa kriteria yang telah ditetapkan bagi memastikan perkara yang dilakukan tidak bercanggah dengan ajaran dan nilai-nilai Islam itu sendiri. Antaranya ialah ia merupakan suatu bidang ilmu dan amalan yang boleh memberi perkhidmatan kesihatan yang cemerlang dan sesuai untuk semua golongan manusia tanpa mengira bangsa, agama atau darjat. Ilmu dan amalan perubatan Islam mestilah berlandaskan akidah Islam dan mereka yang terlibat dalam memberi rawatan adalah orang yang mempunyai ilmu dan kepakaran dalam bidang perubatan di samping menjadi orang yang beriman dan bertakwa. Amalan perubatan Islam juga perlu patuh kepada undang-undang syariah Islam khususnya bagi tatacara ujian dan kaedah rawatan yang mungkin mengundang kontroversi dan boleh mengancam hak asasi manusia. Amalan perubatan Islam ini perlu menyentuh keseluruhan manusia untuk merangkumi aspek-aspek rohaniah, mental dan jasmani. Proses pengubatan bukan sahaja melibatkan individu yang sakit sahaja, malah sepatutnya melibatkan anggota keluarga dan juga masyarakat. Kaedah rawatan untuk pesakit juga sepatutnya meliputi semua cara termasuklah rawatan moden, pembedahan, kaedah rawatan tradisional dan patut dimulakan dengan doa memohon pertolongan daripada Allah. Semua kaedah rawatan boleh diterima selagi tidak menyebabkan seseorang itu menjadi syirik dan sepatutnya kaedah-kaedah rawatan tersebut disepadukan di bawah satu medium yang sama. Amalan perubatan juga mestilah berasaskan ilmu perubatan sains yang terkini dan mereka yang terlibat sepatutnya sentiasa menjalankan penyelidikan serta menghasilkan penulisan agar ilmu kedoktoran ini dapat disebarkan kepada semua.

Walaupun dunia sudah semakin maju dan berkembang, masyarakat Islam di Malaysia sebenarnya tidak sunyi daripada mempunyai tasawur yang bertentangan dengan tasawur Islam sekali gus mempunyai kefahaman yang salah mengenai perubatan Islam. Penggunaan tangkal ataupun objek-objek yang dipercayai mampu memberikan kesan-kesan tertentu seperti penyembuhan dan perlindungan sememangnya perkara yang selalu didengari. Selain itu, terdapat sesetengah anggota masyarakat yang menghentikan atau tidak mahu mendapatkan rawatan perubatan moden kerana semata-mata percaya terdapat rawatan alternatif yang berlabel Islam dan dipercayai lebih islamik.

Prinsip dan kaedah pembelajaran mereka yang melibatkan diri dengan rawatan masyarakat Melayu tradisional dan rawatan yang diistilahkan sebagai rawatan Islam yang menggunakan doa-doa adalah berbeza.  Walaupun demikian, oleh kerana maklumat mengenai rawatan Islam itu tidak difahami oleh sebahagian besar masyarakat; akibat pendedahannya yang terhad dan akibat kekaburan maklumat sebenar rawatan Melayu tradisional, yang sering menjadi rahsia daripada pengetahuan umum, yang berselindung di sebalik prinsip ilmu kebatinan, maka masyarakat umumnya menganggap kedua-duanya sebagai kaedah rawatan yang sama, apatah lagi dengan adanya golongan tertentu yang mencampuradukkan kaedah-kaedah rawatan tradisional dengan pelbagai elemen pengaruh Islam.

Fenomena yang berlaku di dalam masyarakat Islam di Malaysia ini ternyata membimbangkan kerana kebanyakan daripada mereka mempunyai tasawur bahawa perbuatan yang dilakukannya itu adalah tepat dan kononnya, tidak mempunyai kesalahan menurut tasawur Islam. Penentangan terhadap penggunaan tangkal dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia sebenarnya telah lama berlaku dan sememangnya ramai yang mengamalkannya juga mengetahui bahawa penggunaan tangkal atau azimat adalah ditegah dalam Islam. Pelbagai alasan dan justifikasi cuba dicipta bagi meneruskan perbuatan tersebut seperti dengan beralasan bahawa tangkal atau azimat tersebut merupakan salah satu daripada ikhtiar yang dibolehkan. Malahan, bagi meyakinkan seseorang pengguna atau pelanggannya, terdapat pengamal perubatan yang menyelitkan ayat-ayat al-Quran di dalam tangkal tersebut. Ternyata bahawa, interpretasi yang salah terhadap sumber epistemologi Islam dalam perubatan menyebabkan timbulnya perkara yang sedemikian. Daripada aspek epistemologi Islam, penggunaan ayat-ayat al-Quran dalam perubatan bukanlah menjadi kesalahan tetapi haruslah mengikut ketetapan dalam penggunaannya yang telah ditetapkan oleh syarak. Walaupun rangkaian ayat-ayat Al-Quran boleh dijadikan sebagai ubat penyembuh dan amalannya berserta memohon doa agar dapat mengubati segala penyakit yang dialami, seseorang pengamal perubatan atau pesakit seharusnya tidak sepenuhnya mengharapkan keajaiban dan kemujaraban ayat-ayat al-Quran yang digunakan tetapi seharusnya mengembalikan kebergantungan dan penyerahan diri mereka kepada Allah SWT yang berkuasa menentukan segala-galanya termasuklah dalam memberikan nikmat kesihatan dan kesembuhan kepada seseorang pesakit.

Firman Allah:


Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua. Surah Al-Israa’ (17: 82).


Dan kalaulah Al-Quran itu Kami jadikan (bacaan) dalam bahasa asing, tentulah mereka akan berkata: "Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya (dalam bahasa yang kami fahami)? Patutkah Kitab itu berbahasa asing sedang Rasul yang membawanya berbangsa Arab?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Al-Quran itu, menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang-orang yang beriman; dan sebaliknya orang-orang yang tidak beriman, (AL-Quran itu) menjadi sebagai satu penyakit yang menyumbat telinga mereka (bukan penawar); dan ia juga merupakan gelap-gelita yang menimpa (pandangan) mereka (bukan cahaya yang menerangi). Mereka itu - (dengan perbuatan melarikan diri dari ajaran Al-Quran, tidak ubahnya seperti) orang-orang yang diseru dari tempat yang jauh (masakan mereka dapat mendengar dengan betul atau melihat dengan nyata)". Surah Fussilat (41: 44).

Dalam realiti kehidupan pada masa kini, generasi “tua” yang bertaraf datuk atau nenek merupakan pihak yang bertanggungjawab memasang tangkal pada cucu mereka walaupun generasi “anak-anak” ini menolak amalan yang sedemikian. Namun, ramai yang terpaksa akur atas alasan takut dilabelkan derhaka atau kurang ajar malahan ada yang bertindak sedemikian demi menjaga hati orang tua mereka sedangkan Islam telah melarang kita daripada mentaati makhluk walaupun ibu-bapa dalam perkara-perkara yang dilarang. Memakai tangkal atau azimat merupakan suatu perbuatan syirik dan membenarkan datuk atau nenek memakaikannya pada cucu mereka adalah satu subahat terhadap perbuatan dosa tersebut.

Apabila melihat bidang perubatan dari perspektif tasawur Islam, Islam telah menggariskan panduan dalam menentukan penerimaan sesuatu amalan perubatan. Sesuatu amalan tersebut dibenarkan selagi tidak menggunakan sebarang bahan dan perkara-perkara yang diharamkan. Hal ini berdasarkan hadis riwayat oleh Usamah Ibn Shuraik yang berkata:

Seorang Badwi berkata,”Ya Rasulullah, bolehkah kita tidak merawat penyakit?” Nabi bersabda yang mafhumnya: “Rawatlah penyakit, kerana Allah tidak mencipta penyakit melainkan Dia menciptakan penawarnya, kecuali satu penyakit.” Mereka bertanya: “Ya Rasulullah, apakah itu?” Baginda menjawab: “Penyakit tua.” (Riwayat al-Tirmizi no. 1961)

Selain itu, terdapat hadis lain yang dikemukakan oleh Abu al-Darda’ yang menyatakan bahawa Rasulullah bersabda yang mafhumnya: “Allah telah menurunkan penyakit dan penawar, dan setiap penyakit mempunyai penawarnya. Maka, rawatlah penyakit itu, tetapi jangan menggunakan perkara yang haram.” (Riwayat Abu Daud no. 3376)

Oleh yang sedemikian, amat jelas menurut tasawur Islam bahawa selagi kaedah perubatan itu memenuhi garis panduan syarak yang telah ditetapkan ini, selagi itu ada dalam kerangka Islam. Islam tidak pernah menolak sebarang ilmu perubatan, sama ada moden ataupun tradisional. Para ulama mazhab Hanafi dan Maliki berpandangan bahawa rawatan perubatan adalah sesuatu yang diharuskan dan dibenarkan. Al-Syafiee, al-Qadi Iyad, Ibn Aqil dan Ibn Jawzi berpandangan bahawa ia adalah sesuatu yang disunatkan berdasarkan hadis tersebut. Perlu ditegaskan bahawa mendapatkan rawatan perubatan moden bukanlah suatu yang bertentangan dengan konsep tawakal iaitu berserah kepada Allah.

Ibn Qayyim di dalam Zad al-Ma’ad menjelaskan bahawa: “Perkara (mendapatkan rawatan apabila sakit) itu tidaklah bercanggah dengan konsep tawakal, sebagaimana menghilangkan kelaparan, kehausan, kesejukan dan kepanasan tidak bercanggah dengan konsep tawakal. Inti sari tawakal ialah sesuatu itu tidak sempurna tanpa mengikut cara yang telah Allah tetapkan dalam usaha kita mencapai sesuatu kesan, mengikut ketetapan qadar-Nya dan peraturan-Nya. Tidak menggunakan cara-cara itu adalah bercanggah dengan konsep tawakal.”

Hal ini bermakna, untuk pulih daripada penyakit, kita perlu berusaha menjalani proses rawatan ataupun mengambil ubat-ubatan. Ia juga sebahagian daripada tawakal.

Setiap perkara yang kita lakukan termasuklah dalam bidang perubatan haruslah tidak lari daripada tasawur dan epistemologi Islam. Kebanyakan daripada masyarakat Islam pada hari ini begitu lemah kepercayaan dan pemikiran sehingga kepatuhan kepada peraturan yang diatur Allah (sunnatullah) semakin menipis dalam masyarakat. Selain itu, masyarakat Islam juga gagal mematuhi syariat Allah. Terapi ruqyah atau jampi menggunakan ayat al-Quran dan doa-doa yang diajar Rasulullah adalah sebahagian daripada proses mematuhi syariat Allah. Tidak ramai orang yang terlantar di hospital dijampi dengan bacaan doa yang diambil daripada sunnah Rasulullah ini. Sewajarnya, dua aspek ini perlu disepadukan. Sekiranya seseorang ditimpa sebarang penyakit, syariat Allah mengajak berubat dengan doa-doa yang diajar oleh Nabi. Sunnatullah pula menuntut seseorang untuk mencari rawatan perubatan untuk menyembuhkannya. Seseorang perlu melakukan kedua-duanya serentak, barulah mendapat semula nikmat sihat itu dengan izin Allah. Begitu juga dengan pahala dan rahmat.

RUJUKAN

Ahmad Nizam (2006). Dr. Daniel Zainal Abidin: Cara Pengubatan Amalan Rasulullah SAW. Diakses pada 23 Oktober 2012 daripada http://hikmatun.wordpress.com/2008/03/09/cara-pengubatan-amalan-rasulullah-saw/

Hamid Arshat (2007). Perubatan Islam: Falsafah dan Amalan. Diakses pada 19 Oktober 2012 daripada http://www.hamidarshat.com/perubatan-islam-informasi-134.html/

Haron Din (2006). Konsep Perubatan Islam. Diakses pada 19 Oktober 2012 daripada http://www.darussyifa.org/artikel/KonsepPerubatanIslam.PDF/

Pusat Rawatan al-Hidayah (2011). Asas Rawatan. Diakses pada 24 Oktober 2012 daripada http://www.alhidayah-medic.com/mengenai-kami/asas-rawatan/