Tuesday, November 27, 2012

Perubatan Islam: Penelitian Terhadap Kepercayaan Masyarakat Islam di Malaysia


TUGASAN BLOG SIW505

Perubatan Islam: Penelitian Terhadap Kepercayaan Masyarakat Islam di Malaysia

ABANG MOHD. RAZIF BIN ABANG MUIS
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam)
P-SM0142/12

Perubatan merupakan suatu amalan semua umat manusia dalam dunia ini tanpa mengira keturunan, bangsa atau agama kerana setiap manusia boleh diserang penyakit. Usaha untuk mendapatkan penawar atau ubat bagi sesuatu jenis penyakit telah dilakukan sejak zaman Nabi Allah Adam A.S. sehingga sekarang dan usaha ini masih berterusan. Jenis penyakit kian bertambah dan lebih rumit lagi dengan perubahan terhadap gaya hidup manusia dan perubahan dalam alam persekitaran. Walaupun pelbagai jenis ubatan telah dihasilkan oleh manusia, namun masih terdapat banyak penyakit yang belum diketahui punca dan cara rawatannya. Umat Islam juga tidak terkecuali daripada dihinggapi wabak penyakit dan pelbagai usaha dan cara telah dilakukan untuk mendapatkan rawatan. Rasulullah S.A.W. menggalakkan umat Islam supaya berusaha untuk mencari rawatan setiap penyakit yang dihidapi. Baginda turut menekankan betapa pentingnya pencegahan penyakit melalui langkah-langkah tertentu. Rasulullah S.A.W. sendiri mempunyai kemahiran untuk merawat sesetengah jenis penyakit yang tertentu. Kaedah rawatan yang diamalkan oleh baginda adalah berasaskan akidah dan nilai-nilai Islam.

Realitinya, tiada satu kata sepakat mengenai definisi sebenar perubatan Islam. Ramai pengamal perubatan yang mentafsirkan istilah perubatan Islam mengikut pandangan masing-masing bagi mengiktiraf perkara yang mereka amalkan merupakan perubatan Islam sebenar. Justeru itu terdapat kekeliruan dalam kalangan orang ramai tentang apa sebenarnya perubatan Islam. Perubatan Islam adalah satu bidang ilmu dan amalan yang berasaskan ilmu sains perubatan di mana terkandung di dalamnya paradigma, konsep, nilai-nilai tatacara ujian serta rawatan yang selaras dan tidak bertentangan dengan al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W.. Ia bukannya satu kaedah rawatan yang biasanya diamalkan oleh pengamal-pengamal tradisional tetapi ia merupakan keseluruhan konsep ilmu dan amalan perubatan

Pengamal perubatan Islam yang sebenarnya perlu memenuhi beberapa kriteria yang telah ditetapkan bagi memastikan perkara yang dilakukan tidak bercanggah dengan ajaran dan nilai-nilai Islam itu sendiri. Antaranya ialah ia merupakan suatu bidang ilmu dan amalan yang boleh memberi perkhidmatan kesihatan yang cemerlang dan sesuai untuk semua golongan manusia tanpa mengira bangsa, agama atau darjat. Ilmu dan amalan perubatan Islam mestilah berlandaskan akidah Islam dan mereka yang terlibat dalam memberi rawatan adalah orang yang mempunyai ilmu dan kepakaran dalam bidang perubatan di samping menjadi orang yang beriman dan bertakwa. Amalan perubatan Islam juga perlu patuh kepada undang-undang syariah Islam khususnya bagi tatacara ujian dan kaedah rawatan yang mungkin mengundang kontroversi dan boleh mengancam hak asasi manusia. Amalan perubatan Islam ini perlu menyentuh keseluruhan manusia untuk merangkumi aspek-aspek rohaniah, mental dan jasmani. Proses pengubatan bukan sahaja melibatkan individu yang sakit sahaja, malah sepatutnya melibatkan anggota keluarga dan juga masyarakat. Kaedah rawatan untuk pesakit juga sepatutnya meliputi semua cara termasuklah rawatan moden, pembedahan, kaedah rawatan tradisional dan patut dimulakan dengan doa memohon pertolongan daripada Allah. Semua kaedah rawatan boleh diterima selagi tidak menyebabkan seseorang itu menjadi syirik dan sepatutnya kaedah-kaedah rawatan tersebut disepadukan di bawah satu medium yang sama. Amalan perubatan juga mestilah berasaskan ilmu perubatan sains yang terkini dan mereka yang terlibat sepatutnya sentiasa menjalankan penyelidikan serta menghasilkan penulisan agar ilmu kedoktoran ini dapat disebarkan kepada semua.

Walaupun dunia sudah semakin maju dan berkembang, masyarakat Islam di Malaysia sebenarnya tidak sunyi daripada mempunyai tasawur yang bertentangan dengan tasawur Islam sekali gus mempunyai kefahaman yang salah mengenai perubatan Islam. Penggunaan tangkal ataupun objek-objek yang dipercayai mampu memberikan kesan-kesan tertentu seperti penyembuhan dan perlindungan sememangnya perkara yang selalu didengari. Selain itu, terdapat sesetengah anggota masyarakat yang menghentikan atau tidak mahu mendapatkan rawatan perubatan moden kerana semata-mata percaya terdapat rawatan alternatif yang berlabel Islam dan dipercayai lebih islamik.

Prinsip dan kaedah pembelajaran mereka yang melibatkan diri dengan rawatan masyarakat Melayu tradisional dan rawatan yang diistilahkan sebagai rawatan Islam yang menggunakan doa-doa adalah berbeza.  Walaupun demikian, oleh kerana maklumat mengenai rawatan Islam itu tidak difahami oleh sebahagian besar masyarakat; akibat pendedahannya yang terhad dan akibat kekaburan maklumat sebenar rawatan Melayu tradisional, yang sering menjadi rahsia daripada pengetahuan umum, yang berselindung di sebalik prinsip ilmu kebatinan, maka masyarakat umumnya menganggap kedua-duanya sebagai kaedah rawatan yang sama, apatah lagi dengan adanya golongan tertentu yang mencampuradukkan kaedah-kaedah rawatan tradisional dengan pelbagai elemen pengaruh Islam.

Fenomena yang berlaku di dalam masyarakat Islam di Malaysia ini ternyata membimbangkan kerana kebanyakan daripada mereka mempunyai tasawur bahawa perbuatan yang dilakukannya itu adalah tepat dan kononnya, tidak mempunyai kesalahan menurut tasawur Islam. Penentangan terhadap penggunaan tangkal dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia sebenarnya telah lama berlaku dan sememangnya ramai yang mengamalkannya juga mengetahui bahawa penggunaan tangkal atau azimat adalah ditegah dalam Islam. Pelbagai alasan dan justifikasi cuba dicipta bagi meneruskan perbuatan tersebut seperti dengan beralasan bahawa tangkal atau azimat tersebut merupakan salah satu daripada ikhtiar yang dibolehkan. Malahan, bagi meyakinkan seseorang pengguna atau pelanggannya, terdapat pengamal perubatan yang menyelitkan ayat-ayat al-Quran di dalam tangkal tersebut. Ternyata bahawa, interpretasi yang salah terhadap sumber epistemologi Islam dalam perubatan menyebabkan timbulnya perkara yang sedemikian. Daripada aspek epistemologi Islam, penggunaan ayat-ayat al-Quran dalam perubatan bukanlah menjadi kesalahan tetapi haruslah mengikut ketetapan dalam penggunaannya yang telah ditetapkan oleh syarak. Walaupun rangkaian ayat-ayat Al-Quran boleh dijadikan sebagai ubat penyembuh dan amalannya berserta memohon doa agar dapat mengubati segala penyakit yang dialami, seseorang pengamal perubatan atau pesakit seharusnya tidak sepenuhnya mengharapkan keajaiban dan kemujaraban ayat-ayat al-Quran yang digunakan tetapi seharusnya mengembalikan kebergantungan dan penyerahan diri mereka kepada Allah SWT yang berkuasa menentukan segala-galanya termasuklah dalam memberikan nikmat kesihatan dan kesembuhan kepada seseorang pesakit.

Firman Allah:


Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua. Surah Al-Israa’ (17: 82).


Dan kalaulah Al-Quran itu Kami jadikan (bacaan) dalam bahasa asing, tentulah mereka akan berkata: "Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya (dalam bahasa yang kami fahami)? Patutkah Kitab itu berbahasa asing sedang Rasul yang membawanya berbangsa Arab?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Al-Quran itu, menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang-orang yang beriman; dan sebaliknya orang-orang yang tidak beriman, (AL-Quran itu) menjadi sebagai satu penyakit yang menyumbat telinga mereka (bukan penawar); dan ia juga merupakan gelap-gelita yang menimpa (pandangan) mereka (bukan cahaya yang menerangi). Mereka itu - (dengan perbuatan melarikan diri dari ajaran Al-Quran, tidak ubahnya seperti) orang-orang yang diseru dari tempat yang jauh (masakan mereka dapat mendengar dengan betul atau melihat dengan nyata)". Surah Fussilat (41: 44).

Dalam realiti kehidupan pada masa kini, generasi “tua” yang bertaraf datuk atau nenek merupakan pihak yang bertanggungjawab memasang tangkal pada cucu mereka walaupun generasi “anak-anak” ini menolak amalan yang sedemikian. Namun, ramai yang terpaksa akur atas alasan takut dilabelkan derhaka atau kurang ajar malahan ada yang bertindak sedemikian demi menjaga hati orang tua mereka sedangkan Islam telah melarang kita daripada mentaati makhluk walaupun ibu-bapa dalam perkara-perkara yang dilarang. Memakai tangkal atau azimat merupakan suatu perbuatan syirik dan membenarkan datuk atau nenek memakaikannya pada cucu mereka adalah satu subahat terhadap perbuatan dosa tersebut.

Apabila melihat bidang perubatan dari perspektif tasawur Islam, Islam telah menggariskan panduan dalam menentukan penerimaan sesuatu amalan perubatan. Sesuatu amalan tersebut dibenarkan selagi tidak menggunakan sebarang bahan dan perkara-perkara yang diharamkan. Hal ini berdasarkan hadis riwayat oleh Usamah Ibn Shuraik yang berkata:

Seorang Badwi berkata,”Ya Rasulullah, bolehkah kita tidak merawat penyakit?” Nabi bersabda yang mafhumnya: “Rawatlah penyakit, kerana Allah tidak mencipta penyakit melainkan Dia menciptakan penawarnya, kecuali satu penyakit.” Mereka bertanya: “Ya Rasulullah, apakah itu?” Baginda menjawab: “Penyakit tua.” (Riwayat al-Tirmizi no. 1961)

Selain itu, terdapat hadis lain yang dikemukakan oleh Abu al-Darda’ yang menyatakan bahawa Rasulullah bersabda yang mafhumnya: “Allah telah menurunkan penyakit dan penawar, dan setiap penyakit mempunyai penawarnya. Maka, rawatlah penyakit itu, tetapi jangan menggunakan perkara yang haram.” (Riwayat Abu Daud no. 3376)

Oleh yang sedemikian, amat jelas menurut tasawur Islam bahawa selagi kaedah perubatan itu memenuhi garis panduan syarak yang telah ditetapkan ini, selagi itu ada dalam kerangka Islam. Islam tidak pernah menolak sebarang ilmu perubatan, sama ada moden ataupun tradisional. Para ulama mazhab Hanafi dan Maliki berpandangan bahawa rawatan perubatan adalah sesuatu yang diharuskan dan dibenarkan. Al-Syafiee, al-Qadi Iyad, Ibn Aqil dan Ibn Jawzi berpandangan bahawa ia adalah sesuatu yang disunatkan berdasarkan hadis tersebut. Perlu ditegaskan bahawa mendapatkan rawatan perubatan moden bukanlah suatu yang bertentangan dengan konsep tawakal iaitu berserah kepada Allah.

Ibn Qayyim di dalam Zad al-Ma’ad menjelaskan bahawa: “Perkara (mendapatkan rawatan apabila sakit) itu tidaklah bercanggah dengan konsep tawakal, sebagaimana menghilangkan kelaparan, kehausan, kesejukan dan kepanasan tidak bercanggah dengan konsep tawakal. Inti sari tawakal ialah sesuatu itu tidak sempurna tanpa mengikut cara yang telah Allah tetapkan dalam usaha kita mencapai sesuatu kesan, mengikut ketetapan qadar-Nya dan peraturan-Nya. Tidak menggunakan cara-cara itu adalah bercanggah dengan konsep tawakal.”

Hal ini bermakna, untuk pulih daripada penyakit, kita perlu berusaha menjalani proses rawatan ataupun mengambil ubat-ubatan. Ia juga sebahagian daripada tawakal.

Setiap perkara yang kita lakukan termasuklah dalam bidang perubatan haruslah tidak lari daripada tasawur dan epistemologi Islam. Kebanyakan daripada masyarakat Islam pada hari ini begitu lemah kepercayaan dan pemikiran sehingga kepatuhan kepada peraturan yang diatur Allah (sunnatullah) semakin menipis dalam masyarakat. Selain itu, masyarakat Islam juga gagal mematuhi syariat Allah. Terapi ruqyah atau jampi menggunakan ayat al-Quran dan doa-doa yang diajar Rasulullah adalah sebahagian daripada proses mematuhi syariat Allah. Tidak ramai orang yang terlantar di hospital dijampi dengan bacaan doa yang diambil daripada sunnah Rasulullah ini. Sewajarnya, dua aspek ini perlu disepadukan. Sekiranya seseorang ditimpa sebarang penyakit, syariat Allah mengajak berubat dengan doa-doa yang diajar oleh Nabi. Sunnatullah pula menuntut seseorang untuk mencari rawatan perubatan untuk menyembuhkannya. Seseorang perlu melakukan kedua-duanya serentak, barulah mendapat semula nikmat sihat itu dengan izin Allah. Begitu juga dengan pahala dan rahmat.

RUJUKAN

Ahmad Nizam (2006). Dr. Daniel Zainal Abidin: Cara Pengubatan Amalan Rasulullah SAW. Diakses pada 23 Oktober 2012 daripada http://hikmatun.wordpress.com/2008/03/09/cara-pengubatan-amalan-rasulullah-saw/

Hamid Arshat (2007). Perubatan Islam: Falsafah dan Amalan. Diakses pada 19 Oktober 2012 daripada http://www.hamidarshat.com/perubatan-islam-informasi-134.html/

Haron Din (2006). Konsep Perubatan Islam. Diakses pada 19 Oktober 2012 daripada http://www.darussyifa.org/artikel/KonsepPerubatanIslam.PDF/

Pusat Rawatan al-Hidayah (2011). Asas Rawatan. Diakses pada 24 Oktober 2012 daripada http://www.alhidayah-medic.com/mengenai-kami/asas-rawatan/