TUGASAN BLOG SIW505
Perubatan Islam: Penelitian Terhadap
Kepercayaan Masyarakat Islam di Malaysia
ABANG MOHD. RAZIF BIN ABANG MUIS
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan
(Pengurusan Pembangunan Islam)
P-SM0142/12
Perubatan merupakan
suatu amalan semua umat manusia dalam dunia ini tanpa mengira keturunan, bangsa
atau agama kerana setiap manusia boleh diserang penyakit. Usaha untuk
mendapatkan penawar atau ubat bagi sesuatu jenis penyakit telah dilakukan sejak
zaman Nabi Allah Adam A.S. sehingga sekarang dan usaha ini masih berterusan.
Jenis penyakit kian bertambah dan lebih rumit lagi dengan perubahan terhadap gaya
hidup manusia dan perubahan dalam alam persekitaran. Walaupun pelbagai jenis
ubatan telah dihasilkan oleh manusia, namun masih terdapat banyak penyakit yang
belum diketahui punca dan cara rawatannya. Umat Islam juga tidak terkecuali
daripada dihinggapi wabak penyakit dan pelbagai usaha dan cara telah dilakukan
untuk mendapatkan rawatan. Rasulullah S.A.W. menggalakkan umat Islam supaya
berusaha untuk mencari rawatan setiap penyakit yang dihidapi. Baginda turut menekankan
betapa pentingnya pencegahan penyakit melalui langkah-langkah tertentu. Rasulullah
S.A.W. sendiri mempunyai kemahiran untuk merawat sesetengah jenis penyakit yang
tertentu. Kaedah rawatan yang diamalkan oleh baginda adalah berasaskan akidah
dan nilai-nilai Islam.
Realitinya, tiada satu
kata sepakat mengenai definisi sebenar perubatan Islam. Ramai pengamal
perubatan yang mentafsirkan istilah perubatan Islam mengikut pandangan
masing-masing bagi mengiktiraf perkara yang mereka amalkan merupakan perubatan
Islam sebenar. Justeru itu terdapat kekeliruan dalam kalangan orang ramai
tentang apa sebenarnya perubatan Islam. Perubatan Islam adalah satu bidang ilmu
dan amalan yang berasaskan ilmu sains perubatan di mana terkandung di dalamnya
paradigma, konsep, nilai-nilai tatacara ujian serta rawatan yang selaras dan
tidak bertentangan dengan al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W.. Ia bukannya
satu kaedah rawatan yang biasanya diamalkan oleh pengamal-pengamal tradisional
tetapi ia merupakan keseluruhan konsep ilmu dan amalan perubatan
Pengamal perubatan
Islam yang sebenarnya perlu memenuhi beberapa kriteria yang telah ditetapkan
bagi memastikan perkara yang dilakukan tidak bercanggah dengan ajaran dan
nilai-nilai Islam itu sendiri. Antaranya ialah ia merupakan suatu bidang ilmu
dan amalan yang boleh memberi perkhidmatan kesihatan yang cemerlang dan sesuai
untuk semua golongan manusia tanpa mengira bangsa, agama atau darjat. Ilmu dan
amalan perubatan Islam mestilah berlandaskan akidah Islam dan mereka yang
terlibat dalam memberi rawatan adalah orang yang mempunyai ilmu dan kepakaran
dalam bidang perubatan di samping menjadi orang yang beriman dan bertakwa. Amalan
perubatan Islam juga perlu patuh kepada undang-undang syariah Islam khususnya
bagi tatacara ujian dan kaedah rawatan yang mungkin mengundang kontroversi dan
boleh mengancam hak asasi manusia. Amalan perubatan Islam ini perlu menyentuh
keseluruhan manusia untuk merangkumi aspek-aspek rohaniah, mental dan jasmani.
Proses pengubatan bukan sahaja melibatkan individu yang sakit sahaja, malah sepatutnya
melibatkan anggota keluarga dan juga masyarakat. Kaedah rawatan untuk pesakit juga
sepatutnya meliputi semua cara termasuklah rawatan moden, pembedahan, kaedah
rawatan tradisional dan patut dimulakan dengan doa memohon pertolongan daripada
Allah. Semua kaedah rawatan boleh diterima selagi tidak menyebabkan seseorang
itu menjadi syirik dan sepatutnya kaedah-kaedah rawatan tersebut disepadukan di
bawah satu medium yang sama. Amalan perubatan juga mestilah berasaskan ilmu
perubatan sains yang terkini dan mereka yang terlibat sepatutnya sentiasa
menjalankan penyelidikan serta menghasilkan penulisan agar ilmu kedoktoran ini
dapat disebarkan kepada semua.
Walaupun dunia sudah
semakin maju dan berkembang, masyarakat Islam di Malaysia sebenarnya tidak
sunyi daripada mempunyai tasawur yang bertentangan dengan tasawur Islam sekali
gus mempunyai kefahaman yang salah mengenai perubatan Islam. Penggunaan tangkal
ataupun objek-objek yang dipercayai mampu memberikan kesan-kesan tertentu
seperti penyembuhan dan perlindungan sememangnya perkara yang selalu didengari.
Selain itu, terdapat sesetengah anggota masyarakat yang menghentikan atau tidak
mahu mendapatkan rawatan perubatan moden kerana semata-mata percaya terdapat
rawatan alternatif yang berlabel Islam dan dipercayai lebih islamik.
Prinsip dan kaedah
pembelajaran mereka yang melibatkan diri dengan rawatan masyarakat Melayu
tradisional dan rawatan yang diistilahkan sebagai rawatan Islam yang
menggunakan doa-doa adalah berbeza.
Walaupun demikian, oleh kerana maklumat mengenai rawatan Islam itu tidak
difahami oleh sebahagian besar masyarakat; akibat pendedahannya yang terhad dan
akibat kekaburan maklumat sebenar rawatan Melayu tradisional, yang sering
menjadi rahsia daripada pengetahuan umum, yang berselindung di sebalik prinsip
ilmu kebatinan, maka masyarakat umumnya menganggap kedua-duanya sebagai kaedah
rawatan yang sama, apatah lagi dengan adanya golongan tertentu yang
mencampuradukkan kaedah-kaedah rawatan tradisional dengan pelbagai elemen
pengaruh Islam.
Fenomena yang berlaku
di dalam masyarakat Islam di Malaysia ini ternyata membimbangkan kerana
kebanyakan daripada mereka mempunyai tasawur bahawa perbuatan yang dilakukannya
itu adalah tepat dan kononnya, tidak mempunyai kesalahan menurut tasawur Islam.
Penentangan terhadap penggunaan tangkal dalam kalangan masyarakat Islam di
Malaysia sebenarnya telah lama berlaku dan sememangnya ramai yang
mengamalkannya juga mengetahui bahawa penggunaan tangkal atau azimat adalah
ditegah dalam Islam. Pelbagai alasan dan justifikasi cuba dicipta bagi meneruskan
perbuatan tersebut seperti dengan beralasan bahawa tangkal atau azimat tersebut
merupakan salah satu daripada ikhtiar yang dibolehkan. Malahan, bagi meyakinkan
seseorang pengguna atau pelanggannya, terdapat pengamal perubatan yang
menyelitkan ayat-ayat al-Quran di dalam tangkal tersebut. Ternyata bahawa,
interpretasi yang salah terhadap sumber epistemologi Islam dalam perubatan
menyebabkan timbulnya perkara yang sedemikian. Daripada aspek epistemologi
Islam, penggunaan ayat-ayat al-Quran dalam perubatan bukanlah menjadi kesalahan
tetapi haruslah mengikut ketetapan dalam penggunaannya yang telah ditetapkan
oleh syarak. Walaupun rangkaian ayat-ayat Al-Quran boleh dijadikan sebagai ubat
penyembuh dan amalannya berserta memohon doa agar dapat mengubati segala
penyakit yang dialami, seseorang pengamal perubatan atau pesakit seharusnya
tidak sepenuhnya mengharapkan keajaiban dan kemujaraban ayat-ayat al-Quran yang
digunakan tetapi seharusnya mengembalikan kebergantungan dan penyerahan diri
mereka kepada Allah SWT yang berkuasa menentukan segala-galanya termasuklah
dalam memberikan nikmat kesihatan dan kesembuhan kepada seseorang pesakit.
Dan
Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi
ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan
(sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan
keingkaran mereka) melainkan kerugian jua. Surah Al-Israa’ (17: 82).
Dan
kalaulah Al-Quran itu Kami jadikan (bacaan) dalam bahasa asing, tentulah mereka
akan berkata: "Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya (dalam bahasa yang
kami fahami)? Patutkah Kitab itu berbahasa asing sedang Rasul yang membawanya
berbangsa Arab?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Al-Quran itu, menjadi
(cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang-orang yang beriman; dan sebaliknya
orang-orang yang tidak beriman, (AL-Quran itu) menjadi sebagai satu penyakit
yang menyumbat telinga mereka (bukan penawar); dan ia juga merupakan
gelap-gelita yang menimpa (pandangan) mereka (bukan cahaya yang menerangi).
Mereka itu - (dengan perbuatan melarikan diri dari ajaran Al-Quran, tidak
ubahnya seperti) orang-orang yang diseru dari tempat yang jauh (masakan mereka
dapat mendengar dengan betul atau melihat dengan nyata)". Surah Fussilat (41:
44).
Dalam realiti
kehidupan pada masa kini, generasi “tua” yang bertaraf datuk atau nenek
merupakan pihak yang bertanggungjawab memasang tangkal pada cucu mereka
walaupun generasi “anak-anak” ini menolak amalan yang sedemikian. Namun, ramai
yang terpaksa akur atas alasan takut dilabelkan derhaka atau kurang ajar
malahan ada yang bertindak sedemikian demi menjaga hati orang tua mereka
sedangkan Islam telah melarang kita daripada mentaati makhluk walaupun ibu-bapa
dalam perkara-perkara yang dilarang. Memakai tangkal atau azimat merupakan
suatu perbuatan syirik dan membenarkan datuk atau nenek memakaikannya pada cucu
mereka adalah satu subahat terhadap perbuatan dosa tersebut.
Apabila melihat bidang
perubatan dari perspektif tasawur Islam, Islam telah menggariskan panduan dalam
menentukan penerimaan sesuatu amalan perubatan. Sesuatu amalan tersebut
dibenarkan selagi tidak menggunakan sebarang bahan dan perkara-perkara yang
diharamkan. Hal ini berdasarkan hadis riwayat oleh Usamah Ibn Shuraik yang
berkata:
Seorang Badwi
berkata,”Ya Rasulullah, bolehkah kita tidak merawat penyakit?” Nabi bersabda yang
mafhumnya: “Rawatlah penyakit, kerana Allah tidak mencipta penyakit melainkan
Dia menciptakan penawarnya, kecuali satu penyakit.” Mereka bertanya: “Ya
Rasulullah, apakah itu?” Baginda menjawab: “Penyakit tua.” (Riwayat al-Tirmizi
no. 1961)
Selain itu, terdapat
hadis lain yang dikemukakan oleh Abu al-Darda’ yang menyatakan bahawa
Rasulullah bersabda yang mafhumnya: “Allah telah menurunkan penyakit dan
penawar, dan setiap penyakit mempunyai penawarnya. Maka, rawatlah penyakit itu,
tetapi jangan menggunakan perkara yang haram.” (Riwayat Abu Daud no. 3376)
Oleh yang sedemikian, amat
jelas menurut tasawur Islam bahawa selagi kaedah perubatan itu memenuhi garis
panduan syarak yang telah ditetapkan ini, selagi itu ada dalam kerangka Islam.
Islam tidak pernah menolak sebarang ilmu perubatan, sama ada moden ataupun tradisional.
Para ulama mazhab Hanafi dan Maliki berpandangan bahawa rawatan perubatan
adalah sesuatu yang diharuskan dan dibenarkan. Al-Syafiee, al-Qadi Iyad, Ibn
Aqil dan Ibn Jawzi berpandangan bahawa ia adalah sesuatu yang disunatkan
berdasarkan hadis tersebut. Perlu ditegaskan bahawa mendapatkan rawatan
perubatan moden bukanlah suatu yang bertentangan dengan konsep tawakal iaitu
berserah kepada Allah.
Ibn Qayyim di dalam
Zad al-Ma’ad menjelaskan bahawa: “Perkara (mendapatkan rawatan apabila sakit)
itu tidaklah bercanggah dengan konsep tawakal, sebagaimana menghilangkan
kelaparan, kehausan, kesejukan dan kepanasan tidak bercanggah dengan konsep
tawakal. Inti sari tawakal ialah sesuatu itu tidak sempurna tanpa mengikut cara
yang telah Allah tetapkan dalam usaha kita mencapai sesuatu kesan, mengikut
ketetapan qadar-Nya dan peraturan-Nya. Tidak menggunakan cara-cara itu adalah
bercanggah dengan konsep tawakal.”
Hal ini bermakna,
untuk pulih daripada penyakit, kita perlu berusaha menjalani proses rawatan
ataupun mengambil ubat-ubatan. Ia juga sebahagian daripada tawakal.
Setiap perkara yang
kita lakukan termasuklah dalam bidang perubatan haruslah tidak lari daripada
tasawur dan epistemologi Islam. Kebanyakan daripada masyarakat Islam pada hari
ini begitu lemah kepercayaan dan pemikiran sehingga kepatuhan kepada peraturan
yang diatur Allah (sunnatullah)
semakin menipis dalam masyarakat. Selain itu, masyarakat Islam juga gagal
mematuhi syariat Allah. Terapi ruqyah
atau jampi menggunakan ayat al-Quran dan doa-doa yang diajar Rasulullah adalah
sebahagian daripada proses mematuhi syariat Allah. Tidak ramai orang yang
terlantar di hospital dijampi dengan bacaan doa yang diambil daripada sunnah
Rasulullah ini. Sewajarnya, dua aspek ini perlu disepadukan. Sekiranya seseorang
ditimpa sebarang penyakit, syariat Allah mengajak berubat dengan doa-doa yang
diajar oleh Nabi. Sunnatullah pula menuntut seseorang untuk mencari rawatan
perubatan untuk menyembuhkannya. Seseorang perlu melakukan kedua-duanya
serentak, barulah mendapat semula nikmat sihat itu dengan izin Allah. Begitu
juga dengan pahala dan rahmat.
RUJUKAN
Ahmad Nizam (2006). Dr. Daniel Zainal Abidin: Cara Pengubatan
Amalan Rasulullah SAW. Diakses pada 23 Oktober 2012 daripada http://hikmatun.wordpress.com/2008/03/09/cara-pengubatan-amalan-rasulullah-saw/
Hamid Arshat (2007). Perubatan Islam: Falsafah dan Amalan. Diakses
pada 19 Oktober 2012 daripada http://www.hamidarshat.com/perubatan-islam-informasi-134.html/
Haron Din (2006). Konsep Perubatan Islam. Diakses pada 19
Oktober 2012 daripada http://www.darussyifa.org/artikel/KonsepPerubatanIslam.PDF/
Pusat Rawatan
al-Hidayah (2011). Asas Rawatan. Diakses
pada 24 Oktober 2012 daripada http://www.alhidayah-medic.com/mengenai-kami/asas-rawatan/