TUGASAN
SYW502
Gaya
Hidup Sihat Menurut Perspektif Islam
ABANG
MOHD. RAZIF BIN ABANG MUIS
Calon
Sarjana Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam)
P-SM0142/12
Islam merupakan al-Din yang amat menitikberatkan
kesejahteraan umatnya termasuklah dalam menentukan gaya hidup yang sihat. Gaya
hidup sihat berkait rapat dengan kesihatan jasmani, mental, emosi dan rohani.
Gabungan kesihatan fizikal, mental, emosi dan kerohanian ini akan menentukan
kualiti hidup seseorang itu termasuklah prestasi kerjanya dan juga tempoh
hayatnya. Oleh sebab itu, kesihatan merupakan aset yang amat bernilai dalam
kehidupan seseorang insan yang perlu sentiasa dijaga dan diberi perhatian yang
sebaik-baiknya.
Pemakanan yang berlebihan atau
kandungannya yang tidak seimbang sering menyumbang kepada berbagai-bagai
penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit jantung, darah tinggi, penyakit
buah pinggang, kanser dan sebagainya. Perkembangan penyakit kronik di negara
kita sebenarnya amat membimbangkan. Hasil kajian yang dijalankan oleh
Kementerian Kesihatan tahun 2006 mendapati bahawa amalan gaya hidup masyarakat
di negara ini menyebabkan banyak masalah kesihatan yang kronik. Apabila
masyarakat terdedah dengan faktor risiko yang lebih menjurus kepada amalan gaya
hidup akan mengundang kepada penyakit berbahaya seperti jantung, kencing manis,
angin ahmar, kanser, darah tinggi, kegagalan buah pinggang, kerosakan paru-
paru dan penyakit tulang. Antara ciri yang boleh mendatangkan risiko penyakit
berbahaya yang tidak berjangkit adalah gaya pemakanan yang tidak sihat di mana
didapati seramai 8.7 juta (7.8 peratus) daripada masyarakat kita tidak memakan
sayur- sayuran dan buah-buahan. Manakala sebanyak 7.2 juta (60.1 peratus)
rakyat tidak menjalankan aktiviti fizikal yang sepatutnya. Dan juga ciri gaya
hidup yang lain seperti merokok, minum arak, kegemukan, buncit juga
mendatangkan risiko kesihatan.
Jika diteliti hasil kajian ini,
menunjukkan bahawa pemakanan secara seimbang dan aktiviti fizikal tidak
dititikberatkan dalam gaya hidup masyarakat Malaysia. Sebab itulah pesakit
kanser, jantung, diabetes dan darah tinggi adalah antara golongan yang paling
banyak menerima rawatan di hospital kerajaan sepanjang tahun 2006 (Kementerian
Kesihatan) di mana penyakit tersebut adalah penyakit yang disebabkan oleh
faktor pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat. Oleh itu, kita seharusnya
melihat bahawa arus penyakit pada hari ini lebih menjurus kepada unsur
pemakanan dan gaya hidup walaupun mungkin terdapat juga faktor persekitaran dan
lahiriah yang menyumbang kepada masalah penyakit tersebut. Untuk mengawal
keadaan ini ke arah menggalakkan amalan gaya hidup sihat, maka wajar bagi umat
Islam khususnya untuk mempraktikkan dengan lebih bersungguh-sungguh apa yang
dianjurkan oleh Islam sejak dari dahulu lagi iaitu sentiasa bersikap sederhana
dalam pengambilan makanan dan minuman. Mengikut pakar perubatan, kita
digalakkan mengambil banyak sayur-sayuran, buah-buahan dan mengelakkan diri
daripada mengambil makanan yang berkolesterol dan kandungan lemak yang tinggi.
Kita juga perlu memberi perhatian kepada pengambilan gula dengan memilih
makanan dan minuman kurang manis.
Selain pemakanan, bersukan atau
beriadah adalah sebahagian amalan gaya hidup sihat. Islam menggalakkan umatnya
mengamalkan aktiviti latihan jasmani yang bersesuaian. Ini bertepatan saranan
Saidina Umar RA yang menggalakkan bersukan dan latihan jasmani. Katanya:
“Ajarlah anak kamu berenang, memanah dan menunggang kuda”. Seruan ini jelas
membuktikan Islam meletakkan kepentingan beriadah dalam melatih umatnya dan
menjadikan badan mereka sihat dan cergas. Pepatah Melayu juga ada menyebut
bahawa, “Minda yang cerdas bermula dari badan yang sihat.” Justeru, gaya hidup
sihat dalam Islam juga dapat diperoleh dengan melakukan ibadah-ibadah khusus
seperti berwuduk, solat, puasa dan sebagainya. Orang Islam digalakkan bersuci
dengan berwuduk dan membersihkan badan. Berwuduk boleh menghilangkan jangkitan
kuman dan habuk-habuk daripada terus melekat pada badan atau rongga-rongga.
Sesungguhnya amalan berwuduk lima kali sehari ini adalah selari dengan tuntutan
ilmu kesihatan.
Selain amalan berwuduk, solat
fardhu lima waktu dan solat sunat yang lain juga berkeupayaan memberi
ketenangan dan mengawal tekanan hormon dalam badan manusia. Solat yang khusyuk
mampu memberikan kesegaran kepada anggota badan dan membina kecergasan minda.
Solat yang khusyuk adalah solat yang sempurna yang melibatkan tumpuan penuh
fizikal dan hati kepada Allah SWT. Dalam usaha mencapai hakikat khusyuk ini,
maka kita hendaklah bermula dari amalan mengambil wuduk dengan sempurna,
melaksanakan solat dengan cermat dari segi bacaan, qiam, rukuk, iktidal, sujud, thoma'ninah
serta memahami isi bacaan dalam solat.
Firman Allah SWT dalam surah al-Ma'aarij
ayat 19 yang bermaksud, "Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat
resah gelisah. Apabila ia ditimpa kesusahan, ia sangat resah gelisah. Dan
apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat kedekut. Kecuali orang yang
mengerjakan sembahyang."
Berdasarkan ayat ini, ternyata
keistimewaan amalan ibadah khusus membuktikan bahawa Islam telah menyediakan pakej
penjagaan kesihatan fizikal (jasmani) dan spiritual (rohani) yang begitu
diperlukan oleh manusia sejagat tanpa perlu terikut-ikut kepada konsep
penjagaan kesihatan yang lain. Solat khusyuk secara zahirnya adalah menghadapkan
diri kepada Allah SWT dengan penuh adab dan penghormatan. Kerana Allah SWT
adalah Raja di dunia dan Raja di akhirat, Raja yang Maha Kaya lagi Maha
Berkuasa. Solat yang mencapai tahap khusyuk, bukan sahaja memberikan kesan yang
baik dalam hubungan kita dengan Allah SWT, malah berupaya membentuk
keperibadian Muslim yang unggul. Bukan itu sahaja, beberapa kajian daripada
pakar-pakar perubatan telah memperakukan bahawa puasa pada bulan Ramadhan dan
puasa-puasa sunat yang lain, memberikan kesan yang amat positif kepada kesihatan
manusia.
Selain itu, mewujudkan hubungan
yang harmoni dalam masyarakat dan mengekalkan persekitaran bersih juga
merupakan gaya hidup sihat yang amat dituntut
dalam Islam. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Janganlah kamu membuang air kecil di tempat air yang tidak mengalir dan
kemudiannya kamu berwuduk pula di situ." Hadis ini menunjukkan betapa
pentingnya umat Islam sentiasa menjaga kesucian dan kebersihan diri. Suci
tetapi tidak bersih atau bersih tetapi tidak suci, boleh menjejaskan amal
ibadah.
Secara umumnya Islam mengharuskan
umatnya mengamalkan gaya hidup sihat selagi amalannya selari dengan akidah,
syariah dan akhlak Islamiah. Namun jika amalan gaya hidup sihat itu mencemari
akidah dan syariah seperti adanya aktiviti atau pergerakan pemujaan, jampi
serapah, mendedahkan aurat dan berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan,
maka hukumnya adalah haram. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pernah
mengharamkan beberapa kegiatan yang diamalkan oleh umat Islam antaranya Silat
Nasrul Haq, Seni Bina Diri Al-Ma'unah, dan Silat Azhar Wahab yang di dapati
menyimpang daripada akidah Islamiah. Pengharaman senaman Yoga oleh Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan merupakan satu keputusan dibuat yang tidak
mempunyai kaitan sama sekali untuk mencampuri urusan agama dan budaya penganut
agama lain, tetapi semata-mata untuk memelihara akidah dan martabat umat Islam.
Kesimpulannya, umat Islam perlu memberikan
sepenuh perhatian dan mengambil langkah berikut bagi menjamin amalan gaya hidup
sihat iaitu pertama, mengamalkan sikap mencegah lebih baik daripada mengubati.
Kedua, mengamalkan pemakanan sederhana dan seimbang. Ketiga, memastikan amalan
gaya hidup sihat tidak berlawanan dengan akidah dan hukum syarak dan yang keempat,
sentiasa merujuk kepada ulama atau orang alim, supaya gaya hidup kita diberkati
Allah SWT dan disenangi oleh umat Islam.
RUJUKAN
Jamaliah Malia (2011). Gaya Hidup Sihat Menurut Islam. Diakses pada 6 Disember 2013
daripada http://smktmsihat.blogspot.com/2011/01/gaya-hidup-sihat-menurut-islam.html
Noor Kartini (2012). Tips Kesihatan: Gaya Hidup Sihat dalam Islam. Diakses pada 4
Disember 2013 daripada http://sihatbersamatinie.blogspot.com/2012/12/tips-kesihatan-menjaga-kesihatan-adalah.html
Mohd Nazri (2009). Amalan Gaya Hidup Sihat. Diakses pada 6 Disember 2013 daripada http://bmpmrspm.blogspot.com/2009/09/amalan-gaya-hidup-sihat.html
Mohd Shubhi (2012). Gaya Hidup Sihat tapi Masih Tidak Sihat? Diakses pada 6 Disember
2013 daripada http://hidupringkas.com/falsafah/gaya-hidup-sihat-tapi-masih-tidak-sihat/
Kevin Zahri (2007). Apa Erti Gaya Hidup Sihat? Diakses pada 4 Disember 2013 daripada http://www.iluvislam.com/gaya-hidup/kesihatan/2007-apa-erti-qgaya-hidup-sihatq.html#
No comments:
Post a Comment